JASIN: Kerajaan negeri bercadang untuk mengusahakan 36 hektar sawah di Sempang di sini bagi projek perintis penghasilan benih varieti padi MR297 untuk menampung bekalan petani di Melaka.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata pembangunan projek tanaman benih itu dijangka bermula awal tahun depan bagi memastikan golongan pesawah di Melaka mendapat bekalan secukupnya.
“Ini merupakan antara inisiatif kerajaan negeri bagi menggalakkan pesawah menanam padi jenis ini, sekali gus memastikan pengeluaran beras di Melaka dapat dipertingkat dalam jangka masa panjang.
“Sebelum ini mereka perlu mendapatkan bekalan dari luar Melaka selain berdepan kesukaran mendapatkan benih varieti MR297 ini yang mampu menghasilkan tuaian dua hingga tiga kali ganda semusim,“ katanya kepada pemberita di Kampung Tanjong Pinang, Sempang, di sini hari ini.
Terdahulu beliau mengadakan lawatan di tapak kajian penuaian padi Projek Penyelidikan Pakej Agronomi Padi Varieti MR297 yang turut dihadiri Pengarah Pusat Penyelidikan Padi dan Beras, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Dr Mohd Syaifudin Abdul Rahman dan Pengarah MARDI negeri Nik Adli Nik Muhammad.
Dr Muhamad Akmal berkata hasil kajian di situ juga mendapati padi MR297 adalah amat baik dan sesuai ditanam di Sempang yang merupakan kawasan tadahan hujan.
Beliau berkata kebiasaan padi yang ditanam bagi kawasan bukan jelapang hanya mengeluarkan hasil sekitar dua atau tiga tan per hektar, tetapi varieti MR297 tersebut mampu mencapai pengeluaran hasil dua hingga tiga kali ganda bergantung kepada sumber air dan nutrien.
“Benih varieti itu juga mampu bertahan walaupun kekurangan 20 peratus air di kawasan penanaman tadahan hujan yang bergantung kepada sumber air hujan dan sungai, berbanding penanaman di jelapang yang mempunyai sistem pengairan yang baik.
“Kita akan bekerjasama dengan MARDI dan semua agensi berkaitan untuk memulakan projek rintis tanaman benih ini supaya dapat dihasilkan dalam tempoh setahun setengah hingga dua tahun akan datang,“ katanya.
Dalam pada itu, Dr Muhammad Akmal berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri supaya mewartakan 1,300 hektar kawasan tanaman padi di Melaka untuk tujuan pertanian.
Katanya Melaka hanya mengeluarkan sembilan peratus bekalan beras kepada penduduk dan selebihnya diambil dari luar.
Cadangan gazet itu turut bertujuan mengelakkan kawasan tanaman padi terus berkurangan berikutan kegiatan tanah dijual untuk pembangunan, sekali gus menjamin sekuriti makanan negara. -Bernama
>>> Read full article>>>
Copyright for syndicated content belongs to the linked Source : The Sun Daily – https://www.thesundaily.my/cerita/projek-benih-padi-mr297-di-sempang-tampung-bekalan-pesawah-di-melaka-LB11545817